Kelahiran Penulis Arena Politik

Thursday, February 19, 2009

Pada awal zaman Islam, pakar-pakar tidak menulis buku-buku mengenai politik negara dan undang-undang pentadbiran negara. Buku-buku seperti al-Umm (Induk) karangan Imam al-Syafei, al-Muwatta (Himpunan) oleh Imam Malik, dan buku al-Masail (Masalah) oleh Imam Ahmad bin Hanbal, tidak menyentuh apa-apa mengenai politik.

Kalau ada tulisan berkenaan politik Islam ia adalah dalam bentuk surat-surat yang ditulis kepada raja seperti surat yang ditulis oleh Imam Malik, yang diberi tajuk risalah Nasihat al-Muluk (Surat-surat Nasihat kepada Para Raja).

Tidak diketahui apakah faktor-faktor yang menyebabkan ilmuwan dahulu kurang menulis mengenai sistem politik Islam dan pentadbiran negara. Walau bagaimanapun antara faktor-faktor yang mungkin menyebabkan mereka tidak menulis adalah:

1. Pada waktu itu sistem politik dan pentadbiran negara Islam ternyata tidak uniform, yakni ia berbeza-beza antara ketua-ketua negara Islam yang wujud pada masa itu. Umpamanya, selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, cara-cara bagaimana Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali dipilih menjadi ketua negara adalah berbeza-beza.

Selepas zaman pemerintahan mereka, iaitu pada zaman pemerintahan dinasti Umayyah, cara dinasti itu memilih ketua negara juga berbeza. Sistem politik dan pentadbiran negara sepanjang sejarah orang Islam berubah-ubah dan berbeza-beza daripada satu ketua negara kepada ketua negara lain, ataupun daripada suatu dinasti dengan dinasti lain.

Barangkali disebabkan faktor inilah maka para pakar dan ilmuwan Islam dahulu tidak cuba menggariskan sistem politik dan pentadbiran negara dalam hasil kajian daripada karya-karya mereka.

2. Pada masa dahulu, ilmuwan dan pakar undang-undang Islam menjauhkan diri mereka daripada arena politik. Mereka yang cuba mendekatkan diri dengan raja dan istana dikecam. Barangkali raja-raja Islam waktu itu pun tidak suka ilmuwan Islam menyentuh isu-isu yang berkaitan dengan pemerintahan mereka.

Ada ilmuwan dan pakar agama yang dipenjarakan dan diseksa kerana mereka memberanikan diri menegur tingkah laku raja-raja Islam waktu itu. Barangkali sebagai jalan selamat, ilmuwan dan pakar undang-undang waktu itu tidak menyentuh politik dan undang-undang pentadbiran negara Islam.

3. Mungkin ada beberapa orang pakar undang-undang klasik yang menulis mengenai politik dan undang-undang pentadbiran negara Islam, tetapi pandangan mereka cepat menjadi tidak relevan disebabkan perubahan sistem pemerintahan, akibatnya karya-karya mereka itu tidak disalin ataupun tidak diulang cetak.

Akibatnya karya-karya mereka rosak, hilang dan tidak sampai ke tangan kita hari ini. Walaupun begitu, keadaan ini berubah pada zaman pertengahan dan pada zaman sekarang. Masih ada buku-buku politik dan sistem kenegaraan yang tersimpan di perpustakaan di serata dunia yang memerlukan suntingan oleh ilmuwan Islam kini.

Satu lagi faktor yang mungkin menyebabkan ilmuwan dahulu tidak membincangkan isu-isu politik dan sistem pentadbiran negara Islam adalah institusi pemerintahan pada masa itu berpegang kuat pada agama. Kebanyakan ketua-ketua negara waktu itu adalah orang-orang yang menjalankan undang-undang Islam.

Kini pemerintahan Islam dilihat semakin lemah dan terancam kesan daripada serangan musuh-musuh Islam dalam aspek pemikiran, ekonomi dan sosial. Keadaan ini mendorong banyak pakar-pakar sains politik Islam mula mengarang buku-buku mengenai sistem kenegaraan sebagai respons kepada keperluan masyarakat waktu itu yang amat memerlukan pemerintahan yang adil.

0 comments: